Keperluan Menguasai Kemahiran
Transformasi Pendidikan oleh:
DR. ISMAIL ZAIN
Penasihat EMW
Pendidikan terkini memerlukan setiap pelajar menguasai setiap kemahiran mengikut tahap yang ditentukan. tujuannya adalah untuk memastikan setiap pelajar berpeluang menguasai kemahiran yang sama tanpa sesiapa pun tercicir.
Sehubungan itu, pelajar sendiri haruslah memainkan peranannya melalui ciri-ciri diri agar proses mendapatkan sesuatu kemahiran berjalan lancar dan setiap matlamat tercapai.
Kesabaran
Kesabaran harus ada pada diri pelajar ketika mengikuti proses pelajaran melalui bimbingan, tunjuk ajar dan segala bentuk aktiviti yang diberikan oleh guru tanpa berasa bosan. Proses pembelajaran ini mungkin dijalankan berkali-kali sehinggalah semua pelajar dapat menguasainya.
Oleh itu jika anda masih belum menguasainya, anda harus tekun, sabar untuk melakukan sebarang aktiviti berkali-kali tanpa rasa bosan hinggalah guru anda berpuas hati dengan prestasi anda.
Kecekalan Menghadapi Cabaran
Cabaran yang dilalui secara berterusan dengan penuh ikhlas, tanpa berputus asa akan memberi kejayaan. Oleh itu anda harus sanggup menghadapi cabaran. Jangan cepat berasa bosan jika sesuatu kemahiran itu tidak dapat dikuasai pada peringkat permulaannya. Anda harus mencubanya berkali-kali untuk memastikan kejayaan di tangan anda.
Ketekalan Tumpuan
Tumpuan melibatkan anggota fizikal seperti telinga, mata dan tangan. Ini merupakan kunci kearah kejayaan manakala minda dan jiwa merupakan anggota dalaman yang tidak kelihatan secara fizikal tetapi memainkan peranan yang penting ke arah penumpuan dalam pelajaran.
Kebanyakan pelajar yang gagal mencapai sesuatu kemahiran disebabkan kegagalan mereka memberi penumpuan sepunuhnya ketika guru mengajar. Dalam hal ini pelajar seharusnya memberi tumpuan dengan melihat apa yang ditunjuk, mendengar dengan aktif terhadap apa yang diterangkan, berfikir sebelum melakukan setiap aktiviti serta bersemangat dan berazam untuk mencapai kemahiran ketika melakukan aktiviti tersebut.
Anda akan berbangga dengan kemahiran yang dikuasai kerana kemahiran inilah yang mampu meningkatkan darjat prestasi anda ke persada dunia.
Comments
Post a Comment