Program Dwibahasa (DLP) Bukan Wajib di Semua Sekolah

Sumber: Utusan Online (29 Mac 2016)



Program Dwibahasa (DLP) yang bertujuan mengukuhkan bahasa Inggeris berasaskan pilihan sekolah bukanlah bersifat paksaan dan wajib dilaksanakan di semua sekolah.

Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P. Kamalanathan sebaliknya menjelaskan, pihak kementerian memberi pilihan kepada sekolah-sekolah yang memenuhi kriteria untuk mengadakan sesi pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris.

Kriteria-kriteria tersebut , jelas Kamalanathan meliputi sekolah mestilah mempunyai sumber yang mencukupi, kesediaan pengetua atau guru besar untuk melaksanakan DLP, permintaan serta sokongan daripada ibu bapa dan pencapaian sekolah dalam mata pelajaran bahasa Melayu yang menyemai atau lebih baik daripada pencapaian purata kebangsaan."

"Kita da 10.150 sekolah di seluruh negara dan tidak ada satu sekolah pon yang dipaksa ambil bahagian dalam DLP. Sama ada program ini berjaya atau tidak kita telah cuba dan kita menerima permintaan yang melangkaui jangkaan asal.

"Bagaimanapun sekolah yang memohon untuk melaksanakan program ini perlu memenuhi syarat yang saya telah terangkan. Pada peringkat awal keputusan yang ditunjuk memberangsangkan dan kita sedang berusaha menambah baik dari semasa ke semasa," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Dr. Siti Mariah mahmud (PAN-Kota Raja) yang meminta kementerian memperincikan program DLP yang diarahkan kepada sekolah-sekolah dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Menyentuh mengenai perbezaan antara DLP dengan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI), Kamalanathan menjelaskan bahawa dasar tersebut dilaksanakan di semua sekolah dan telah dimansuhkan melalui tempoh peralihan dasar dengan pendekatan soft-landing.

"Pihak kementerian sentiasa mengambil pandangan semua pihak. Pada masa sama kita mengambil pendekatan memantapkan bahasa Melayu dan mengukuhkan bahsa Inggeris, jadi tidak timbul isu kita menjadikan bahasa Inggeris sebagai keutamaan.

"Pihak kementerian akan terus memantau dan melihat bagaimana program ini dapat menambah baik bahasa Inggeris. Penting bagi kita bersaing dengan negara maju dengan bahasa Inggeris sebagai bahasa antabangsa dan pada masa teruskan pemantapan bahasa Melayu," katanya.


Comments

Popular Posts