Cadangan wajib lulus BI dalam SPM perlu kajian terperinci

Utusuan Online, 12 April 2016

Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia (Gagasan) hari ini meminta Kementerian Pendidikan membuat kajian lebih terperinci termasuk memastikan guru opsyen Bahasa Inggeris (BI) benar-benar mencukupi sebelum melaksanakan syarat wajib lulus subjek BI dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Pada masa sama, Gagasan turut berharap supaya kementerian berkenaan tidak terburu-buru melaksanakan syarat baharu itu tanpa persediaan rapi kerana dikhuatiri boleh menjejaskan masa depan sebahagian daripada pelajar dan guru pula menjadi ‘mangsa ujikaji’.



Setiausaha Agungnya, Syed Anuar Syed Mohamad berkata, pihaknya tidak menolak hasrat kerajaan khususnya Kementerian Pendidikan berhubung perkara itu sambil mencadangkan agar ia lebih sesuai dilaksanakan dalam tempoh lima tahun lagi, bukan dalam waktu terdekat.

Beliau berkata, pada masa ini, guru-guru opsyen BI tidak mencukupi terutama di Terengganu, Kelantan serta Kedah dan dengan kekangan itu akan menyukarkan proses pengajaran dan pembelajaran.
Gagasan mahu Kementerian Pendidikan pastikan terlebih dahulu guru-guru opsyen BI benar-benar mencukupi, kalau tak cukup tak perlu dilaksanakan dulu (syarat wajib lulus BI dalam SPM).

Kita harap hanya guru opsyen BI yang betul-betul mahir bahasa itu sahaja diambil,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Syed Anuar yang juga Presiden Alumni Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Kebangsaan mengulas usaha Kementerian Pendidikan yang akan mengadakan mesyuarat kedua bagi membincangkan pelaksanaan syarat lulus subjek BI dalam SPM.

Semalam, Timbalan Menterinya, Datuk P. Kamalanathan berkata, mesyuarat pertama telah dibuat tahun lalu manakala mesyuarat kedua akan diadakan dalam waktu terdekat.

Syed Anuar seterusnya berpendapat, sebagai persediaan untuk tempoh lima tahun lagi, pengambilan guru BI perlu mula dilakukan tahun depan bagi mengikuti kursus perguruan di Institut Pendidikan Guru (IPG) seluruh negara.
Selain itu jelasnya, Kementerian Pendidikan juga disaran menjadikan pelajar yang bakal mengambil kertas tambahan penulisan BI dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang bermula tahun ini sebagai kumpulan printis menduduki SPM pada 2021.

Ini bermakna, calon UPSR tahun ini sudah ada persediaan untuk tempoh lima tahun lagi sebelum ambil SPM 2021 dengan subjek BI sebagai syarat lulus.

Mesti ada kumpulan perintis dan mereka ini perlu diuji terlebih dahulu barulah boleh dilaksanakan syarat baharu itu demi kepentingan semua pihak,” ujarnya.


Comments

Popular Posts