Hukuman rotan pelajar dilaksana 2017
Pengetua
atau guru akan diberi kuasa penuh untuk melaksanakan hukuman rotan
terhadap pelajar yang melakukan kesalahan disiplin di sekolah.
Timbalan
Menteri Pendidikan, Chong Sin Woon berkata, hukuman
tersebut bagaimanapun tidak dibenarkan dilakukan di depan
khalayak ramai semasa perhimpunan, sebaliknya di dalam bilik.
Menurutnya,
cadangan tersebut merupakan antara penambahbaikan peraturan disiplin
pelajar yang bakal dilaksanakan bermula sesi persekolahan 2017.
Katanya,
antara penambahbaikan peraturan adalah kewujudan jawatankuasa
disiplin di peringkat sekolah dan mewajibkan sesi kaunseling kepada
pelajar bermasalah.
“Kementerian
sedang melakukan kajian terhadap garis panduan sedia ada iaitu
Peraturan-Peraturan Disiplin Pelajar 1959 yang terkandung dalam
Ordinan Pendidikan 1957 sebelum draf penambahbaikan itu dibawa ke
Jabatan Peguam Negara untuk diperhalusi.
“Usaha
penambahbaikan ini bertujuan menjadikan peraturan disiplin di sekolah
lebih komprehensif supaya pihak sekolah dapat mengawal tingkah laku
pelajar dan murid dengan lebih teratur,” katanya dalam sidang
akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk
Menangani Gejala Disiplin, di sini hari ini.
Dalam
masa sama, Sin Woon memberitahu, mesyuarat tersebut yang disertai
oleh pelbagai pihak termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan
Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turut menggariskan empat pendekatan
bagi mengatasi masalah disiplin dalam kalangan pelajar.
Katanya,
pihak kementerian akan bekerjasama dengan Agensi Anti Dadah
Kebangsaan (AADK) untuk melaksanakan ujian air kencing
dengan lebih kerap dan pemeriksaan mengejut di sekolah bagi
mengesan pelajar yang mengambil dadah.
“Selain
itu, pihak PDRM diminta merangka program di sekolah dalam memberi
kesedaran kepada pelajar mengenai ancaman dan bahaya pengaruh
kumpulan militan Negara Islam (IS).
“Berkaitan
kes buli, kementerian terus melakukan siasatan tanpa menerima aduan
terlebih dahulu selepas menerima maklumat awal berhubung kejadian
itu,” katanya.
Mengenai
penyebaran video kes buli di laman sosial, Sin Woon berkata,
kementerian akan memberi penjelasan kepada orang ramai dengan segera
sama ada kejadian itu benar berlaku atau sebaliknya.
“Kita
perlu memperjelaskan kepada masyarakat berhubung penyebaran video itu
kerana di media sosial merupakan rakaman lama atau terjadi di negara
lain,” katanya.
Menurut
Sin Woon, penurunan kadar kes ponteng dan buli di sekolah sejak dari
tahun 2012 sehingga 2015 adalah hasil kerjasama para guru dan ibu
bapa serta masyarakat yang bekerjasama untuk mengatasi masalah
disiplin di sekolah.
“Pembentukan
disiplin remaja harus menjadi tanggungjawab semua pihak sekiranya
kita mahu melahirkan modal insan kelas pertama dengan memfokuskan
kepada pembinaan insan bersahsiah tinggi,” katanya.
#efektifmindawawasan
#emwtc
Comments
Post a Comment