Buat 5 Perkara Berikut Untuk Lebih Hargai Diri Sendiri
Melihat orang lain berbelanja mewah, melancong sana-sini, berkereta mewah serta di kelilingi rakan-rakan popular kadangkala membuatkan diri kita ingin menikmati kelebihan yang sama.
Perbuatan membandingkan diri dengan orang lain memang sudah menjadi kebiasaan dalam masyarakat dan tidak dinafikan ia sukar dihentikan. Antara perkara yang selalu menjadi perbandingan ialah kecantikan dan kekayaan.
Memang tidak salah menjadikan mana-mana personaliti sebagai idola untuk dijadikan inspirasi. Namun jika sikap membanding-bandingkan ini terlalu ekstrem, anda hanya akan membuatkan diri tidak gembira, tidak berguna.
Hentikan kebiasaan ini dengan memahami cara anda memandang diri sendiri. Lakukan sesuatu untuk meningkatkan kepercayaan diri, dan ubah perilaku agar boleh memperbaiki persepsi tentang diri sendiri.
Cuba lakukan lima perkara berikut untuk lebih menghargai diri sendiri:
1) Syukuri nikmat diberi setiap hari
Setiap hari, ya setiap hari anda wajib mensyukuri segala nikmat yang dikurniakan-Nya. Jangan sesekali mengambil mudah akan nikmat boleh menghirup udara setiap pagi, tubuh badan sihat, keluarga yang sentiasa ada di sisi, rakan-rakan yang sentiasa menemani dalam susah dan senang dan cukup makan minum.
2) Jangan menghakimi
Apa yang anda lihat pada orang lain hanyalah pada sisi luarannya sahaja. Jadi, anda perlu ingat apa yang kelihatan di luar belum tentu seperti apa yang terjadi sesungguhnya.
Anda tidak boleh menggunakan sisi luaran untuk menilai realiti kehidupan mereka yang sebenar. Lebih-lebih lagi dengan apa yang dipamerkan di sosial media. Mana mungkin orang lain meuar-uarkan sisi-sisi gelap kehidupan. Hanya yang indah, yang cantik dipamerkan kepada umum.
Jadi, ingatkan diri bahawa anda sebenarnya tidak pernah tahu apa yang terjadi di balik kehidupan orang lain yang anda bandingkan. Tiada siapa yang sempurna di dunia ini. Setiap seorang daripada kita ada cerita sendiri. Senang cerita, jangan menghakimi.
3) Wang, harta benda tidak jamin kebahagiaan
Suka membandingkan kekayaan atau sesuatu yang dimiliki orang lain dengan diri sendiri? Ingat, belum tentu kekayaan yang dimiliki orang itu benar-benar membuat dia bahagia!
Benar dia mampu beli apa sahaja yang diinginkan, tetapi mungkin dia tidak punya masa untuk makan semeja dengan ahli keluarga. Sebabnya sebahagian besar rutin hidupnya habis di pejabat.
Sedangkan anda punya masa menonton wayang dengan anak-anak atau piknik di hujung minggu. Bersyukurlah untuk setiap kebaikan yang ada dalam hidup anda. Jika ada pihak lain atau sesuatu yang memicu perasaan negatif, hentikan dan ingatkan diri tentang apa yang sudah anda miliki saat ini.
4) Jadikan perbandingan sebagai motivasi
Jika masih mahu membandingkan diri sendiri dengan orang lain, gunakan perbandingan tersebut sebagai motivasi agar anda berusaha ke arah yang lebih baik.
Sebagai contoh, jika kenalan anda boleh bekerja sambil belajar untuk membolehkan dia mendapat gred gaji yang lebih tinggi, anda juga harus percaya anda boleh melakukannya. Jangan takut mencabar keupayaan diri.
5) Terima kekurangan dan kegagalan
Tidak ada manusia yang sempurna di dunia ini. Jadi it’s okay jika anda punya kekurangan. Memang benar kita boleh berusaha untuk terus menjadi lebih baik tetapi sedarlah bahawa kita tidak akan pernah sempurna 100%.
Ingat, setiap orang punya kekurangan dan setiap orang pasti mengalami kegagalan. Ia adalah sebahagian daripada proses kehidupan.
Comments
Post a Comment