Menabung ialah amalan meyimpan wang yang diperoleh. Wang ini disimpan di tempat yang selamat seperti di bank atau dalam bentuk saham atau bon. Menabung juga dapat dikatakan seperti menyediakan payung sebelum hujan. Banyak kebaikan yang akan kita peroleh jika kita menabung.

Salah satu daripada kebaikan menabung ialah kita akan mendapat keuntungan. Hal ini kerana wang yang disimpan di bank akan dibayar faedah manakala saham akan dibayar dividen. Sebagai contoh, jika kita menyimpan wang di dalam akaun simpanan tetap,kita akan dibayar faedah mengikut kadar dan tempoh simpanan. Oleh itu,lebih lama wang itu disimpan,lebih tinggi kadar faedah yang akan diperoleh.
Amalan menabung akan mendidik kita supaya sentiasa berjimat cermat. Sikap berjimat cermat sebenarnya merupakan satu amalan yang baik kerana kita akan lebih berhati-hati dalam membuat perbelanjaan. Oleh itu,dapat mengelakkan pembaziran. Sebagai contoh,apabila mempunyai wang lebihan,seseorang yang tidak menabung akan bertindak membelanjakan wang tersebut untuk membeli barang yang dikehendakinya. Tegasnya,sikap suka menabung akan menjadikan seseorang itu tidak membazir.
Amalan menabung juga dapat membantu kita dalam keadaan kecemasan yang memerlukan wang. Kita sebenarnya tidak dapat menjangka hal yang akan berlaku kepada diri kita atau keluarga kita,bak kata orang malang tidak berbau. Oleh itu,jika kita ditimpa kemalangan atau dijangkiti penyakit,kita boleh menggunakan wang simpanan untuk mendapatkan rawatan yang baik di hospital. Justeru,wang simpanan yang ada dapat menyelamatkan nyawa anda dalam keadaan yang darurat.
Menabung juga dapat mengawal inflasi. Hal ini demikian kerana apabila kita menabung,wang yang mengalir dalam aktiviti belian adalah kurang.Keadaan ini dapat mengelakkan kenaikan harga barang dalam pasaran. Apabila harga barang tidak naik,inflasi tidak akan berlaku. Oleh itu,menabung dapat mengawal inflasi.
Kesimpulannya,kita mesti mengamalkan sikap suka menabung. Kanak-kanak harus digalakkan supaya menabung sejak kecil lagi. Wang yang disimpan itu mungkin sedikit tetapi sikit-sikit lama-lama jadi bukit.
“Sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit.” Apabila mendengar sahaja peribahasa di atas, pasti tergambar dalam fikiran kita bahawa peribahasa itu amat sinonim dengan perbuatan menabung. Cuba kita berfikir sejenak, apakah itu menabung? Menabung merupakan perbuatan yang mulia dan dapat ditakrifkan sebagai mengasingkan sejumlah wang demi menjamin masa depan seseorang. Namun begitu, dalam era pascaglobalisasi ini kesedaran untuk menabung semakin menyusut dalam kalangan masyarakat kita khususnya bagi golongan remaja. Para cendekiawan memfasiqkan bahawa wang bukan segala-galanya, tetapi tidak dinafikan dengan wang kita dapat melakukan segala-galanya. Peribahasa tak tumbuh tak melata, tak sungguh orang tak kata amat tepat untuk menyokong pendapat tersebut. Kini, terdapat pelbagai cara yang dapat kita lakukan untuk menabung. Kita boleh menabung di bank-bank tempatan yang banyak terdapat di negara kita atau melabur dalam saham-saham yang dijamin oleh kerajaan. Sememangnya, amalan baik ini haruslah dididik oleh ibu bapa sejak setahun jagung kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Izharnya, amalan menabung ini mendatangkan banyak faedah bukan sahaja kepada individu yang melakukannya tetapi juga terhadap masyarakat dan negara.
Pada hemat saya, kepentingan primanya ialah para pelajar dapat menyambung pelajaran dengan menggunakan wang tabungan sekiranya diperlukan. Hal ini demikian kerana kos pengajian di peringkat universiti semakin meningkat. Bagi golongan miskin pula, wang pendaftaran sesi pengajian sahaja pun sukar untuk dibayar. Jika kita menabung, kita dapat menampng perbelanjaan persekolahan lain, seperti membeli buku-buku rujukan, membayar yuran sekolah dan yuran kelas bimbingan luar. Dalam hal ini, kita wajarlah membuka akaun di bank dengan bantuan daripada ibu bapa. Di sampng itu, kita haruslah menabung dalam jumlah yang konsisten setiap bulan dan wang simpanan ini tidak dibelanjakan untuk kepentingan peribadi. Sikap boros dan berbelanja pada perkara yang tidak perlu haruslah dielakkan sama sekali. Natijahnya, kita tidak perlu bersandar pada ibu bapa ataupun pada kerajaan untuk mendapatkan bantuan kewangan ataupun biasiswa demi mengongkosi pengajian kita di menara gading nanti. Dewasa ini, banyak pelajar cemerlang yang menggantungkan harapan pada biasiswa tajaan JPA dan pada pinjaman PTPTN. Apabila gagal beroleh bantuan kewangan, mereka pun seolah-olah kaca terhempas ke batu. Melalui amalan menabung, ibu bapa kita tidak perlu bergolok bergadai untuk membiayai kos pelajaran anak-anak yang mahal sekali. Orang tua-tua pernah berkata bahawa sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna haruslah menjadi pedoman dalam amalan ini. Ringkasnya, kehidupan masa hadapan lebih terjamin dengan pembelajaran sepanjang hayat dijadikan landasan untuk berjaya sekiranya ada tabungan yang mencukupi.
Faedah kedua sekiranya seseorang itu melakukan tabungan ialah wang tabungan itu dapat digunakan pada waktu kecemasan. Dana kecemasan ini cukup penting terutamanya buat individu yang sudah berkeluarga. Dana kecemasan biasanya merupakan satu dana yang disimpan untuk membiayai perbelanjaan di luar jangkaan. Peribahasa Melayu ada mengatakan bahawa malang tidak berbau, nasib buruk seseorang itu sukar dijangkakan oleh sesiapa. Oleh itu, wang yang ditabung dapat membantu orang yang berada dalam keadaan susah sebagai sumber kewangan. Misalnya, semasa dalam masalah kesihatan, ditimpa bencana alam dan tragedi kemalangan jalan raya. Sudah pasti wang tabungan itu amat berguna untuk tujuan rawatan. Sebagai impaknya, wang tersebut juga boleh membantu keluarga dan saudara kita apabila kecemasan berlaku. Dalam erti kata yang lain, wang tersebut dapat memudahkan segala urusan pada masa hadapan. Hal ini jelas dinyatakan dalam peribahasa sediakan payung sebelum hujan dan beringat sebelum kena, berjimat sebelum habis. Hakikatnya, amalan menabung merupakan persediaan kita untuk menghadapi saat-saat kecemasan yang tidak dapat dijangka oleh akal sama sekali.
Selain digunakan untuk waktu kecemasan, kebaikan amalan menabung yang seterusnya ialah dapat melahirkan insan yang menyemai tabiat berjimat cermat. Tegasnya kepada kita bahawa orang yang sering mengalami kesempitan wang tidak berhemat dalam berbelanja. Selain itu, kita juga amat susah untuk menyimpan wang sehinggakan kita terpaksa mengikat perut pada akhir bulan kerana sikap boros berbelanja. Dengan itu, sikap boros berbelanja ini sepatutnya diganti dengan didikan dan amalan menabung. Selaras dengan itu, kita juga wajarlah mengelakkan sikap suka berhutang dalam kalangan masyarakat. Menurut Dato Michael Chong, kita tidak perlu “mengemis” dan menjadi mangsa ceti haram kerana lintah darat ini memang menangguk di air keruh dan menjadi duri dalam daging dalam kehidupan kita. Seterusnya, kita juga digalakkan untuk merekod sesuatu perbelanjaan untuk megenal pasti wang yang kita belanjakan itu. Sebagai kesannya, kita dapat mengelakkan diburu pemiutang atau diisytiharkan muflis apabila gagal membayar hutang. Sementara itu, sikap boros juga tidak akan berlaku dalam perbelanjaan seharian kita. Sudah terang lagi bersuluh bahawa sikap berhemah dan bijak mengurus kewangan dalam diri sendiri akan dapat dipertingkatkan dengan amalan menabung.
Amalan menabung juga penting untuk kelangsungan hidup pada hari tua nanti. Hal ini berpunca daripada masalah kesihatan pada hari tua tidak dapat dijangkakan oleh sesiapa. Oleh itu, kita perlu menyimpan wang dari awal dan tidak boleh menunggu sehingga waktu yang sesuai. Victor Hugo ada berkata bahawa orang yang menabung itu bagaikan bintang di langit. Seseorang yang menabung lebih awal maka wang simpanannya akan menjadi lebih banyak. Kehidupan kita pada hari tua akan menjadi lebih selesa apabila tiada masalah kewangan kerana kita mendapat rawatan yang baik dan sempurna. Wang yang ditabung ini amat penting digunakan untuk kos perubatan dan sara hidup kerana sudah tidak bekerja. Amalan menabung sebenarnya mampu menjamin kestabilan hidup kita di dunia. Di samping itu, kemaslahatan diri dan keluarga akan terpelihara melalui amalan menabung. Amalan menabung bertepatan dengan peribahasa, sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit yang mengatakan kemaslahatan menabung. Kata aforisme bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian haruslah menjadi panduan dalam mengamalkan amalan menabung. Tegasnya, masa depan kita untuk hari tua akan lebih terjamin apabila menabung.
Akhirulkalam, amalan menabung memberikan pelbagai manfaat kepada umat manusia sekiranya diurus secara bijak dan berhemat. Dengan itu, kita sebagai rakyat Malaysia perlulah berfikiran positif untuk memastikan amalan menabung menjadi rutin hidup seluruh masyarakat Malaysia. Perjalanan seribu batu bermula dari satu langkah, yang pipih tidak datang melayang, yang bulat tidak datang bergolek dan tidak ada gunung tinggi yang tidak dapat didaki, tidak ada luruh dalam yang tidak dapat dituruni. Sikap bersungguh-sungguh yang berpegang kepada peribahasa Melayu, hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih, di mana ada kemahuan, di situ ada jalan dan kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya perlu ada dalam diri untuk merealisasikan amalan menabung sebagai budaya kerana genggam bara api, biar sampai jadi arang. Kesabaran dan ketekunan dapat mendaki gunung-ganang. Seterusnya, kita wajarlah bijak merancang kewangan hidup kita dengan mengamalkan budaya menabung wang sejak setahun jagung lagi supaya dapat merealisasikan impian diri sendiri malahan negara. Kita juga perlu merenungi faedah-faedah amalan menabung dan menjadikan amalan tersebut sebagai agenda utama dalam kamus hidup kita.





Comments

Popular Posts