PENGENALAN Negara kita sekarang berada dalam zaman ledakan teknologi dan maklumat. Dengan erti kata lain, kini merupakan zaman persaingan ekonomi perindustrian yang hebat dan memerlukan persaingan daya fikir yang bersifat kritis, inovatif, imaginatif dan kreatif. Pelan Induk Pendidikan Malaysia 2006-2010 (Ministry of Education, 2006) menyatakan bahawa salah satu matlamat utama dalam menghasilkan sumber insan kelas pertama di Malaysia adalah untuk melahirkan pelajar dengan kebolehan pemikiran kreatif dan kritis. Seterusnya Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 (2013) turut menekankan kepentingan pemikiran kritis dan kreatif bahawa: “setiap kanak-kanak akan belajar bagaimana untuk terus memperoleh pengetahuan sepanjang hayat mereka (menanamkan cinta untuk siasatan dan pembelajaran sepanjang hayat), dapat menggabung jalin ilmu yang berbeza, dan untuk mewujudkan pengetahuan baharu. Setiap kanak-kanak akan menguasai pelbagai kemahiran kognitif yang penting, termasuk pemikiran kritis, penaakulan, pemikiran kreatif dan inovasi.” (Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013- 2025, 2013, hlm.E9). Bahagian ini merupakan kelemahan dalam sejarah sistem pendidikan negara bahawa pelajarpelajar kita kurang mampu menggunakan pengetahuan dan berfikir secara kritikal dalam konteks di luar akademik. Berikutan itu, transformasi pendidikan telah dimulakan dengan terlaksananya Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) pada tahun 2011, dan pengajaran pemikiran kreatif dan kritis dan pembelajaran strategi telah dilaksanakan dan kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) ditekankan di sekolah-sekolah Malaysia. Oleh itu, ia dijangka bahawa pelajarpelajar di bawah sistem persekolahan ini akan mempamerkan tahap pemikiran yang lebih tinggi, terutamanya dan gaya pemikiran kritis dan kreatif. PERNYATAAN MASALAH Kemahiran berfikir adalah asas bagi mencorakkan pembangunan pendidikan yang kreatif dalam kalangan pelajar. Penekanan terhadap kemahiran berfikir dalam semua mata pelajaran di sekolah membolehkan percambahan pemikiran berlaku dan pelajar boleh berfikir dan membuat sesuatu keputusan dengan lebih rasional, bertimbang rasa dan objektif (Abdul Rahim, 1999; Maimunah, 2004). Justeru, rasional mengajar kemahiran berfikir khususnya kritis dan kreatif bukan sahaja memenuhi hasrat Falsafah Pendidikan Negara (FPN) dan Tujuan Pendidikan Negara (TPN) untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani (Pusat Perkembangan Kurikulum, 1999), malah lebih daripada itu, pengajaran KBKK merupakan satu tanggung-jawab kemanusiaan. Kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif disepadukan di dalam pengajaran bertujuan untuk memberi kemahiran kepada pelajar supaya berfikir secara kritis dan boleh menghasilkan idea-idea baharu. Kemahiran berfikir diterapkan kepada pelajar melalui soalan-soalan aras tinggi, aktivitiaktiviti yang menggalakkan pemikiran dan penyelesaian masalah serta kaedah-kaedah pengajaran yang boleh mendorong ke arah meningkatkan kemahiran berfikir. Dalam sesi pembelajaran, guru kerap berhadapan dengan pelajar yang berbeza dari segi kebolehan mereka. Kepakaran guru amat diperlukan dalam menentukan strategi pengajaran dan pembelajaran. Ini bermakna, guru boleh menentukan pendekatan, memilih kaedah dan menetapkan teknik-teknik tertentu yang sesuai dengan perkembangan dan kebolehan pelajar. Strategi dan teknik yang dipilih itu, selain berpotensi merangsang pelajar belajar secara aktif, ia juga harus mampu membantu menganalisis konsep atau idea dan berupaya menarik hati pelajar serta dapat menghasilkan pembelajaran yang bermakna (Pusat Perkembangan Kurikulum, 2012). Perkembangan positif sistem pendidikan negara adalah apabila menjadikan kemahiran berfikir sebagai elemen yang diberi penekanan utama dalam kurikulum sekolah bestari. Pendidikan Bahasa Melayu sekolah menengah antara lain bertujuan untuk membolehkan pelajar memberikan pendapat dan hujah yang kritis dan analitis dalam pelbagai situasi serta dapat membuat tafsiran, penilaian dan rumusan yang wajar atas pelbagai bahan yang dibaca. Pemikiran kritis, analitis dan kreatif perlu ditanam dan disuburkan dalam kalangan pelajar ISSN: 2180-4842. Vol. 4, Bil. 2 (Nov. 2014): 10-24 12 secara sedar serta terancang oleh guru-guru Bahasa Melayu. Semakan terkini Huraian Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu yang dilakukan pada tahun 2013 menjelaskan bahawa: ”Kemahiran berfikir hendaklah diserapkan secara terancang dengan kemahiran mendengar dan bertutur, membaca dan menulis. Huraian Sukatan Pelajaran BM ini memberikan penekanan pada Kemahiran Berfikir secara kritis dan kreatif dalam pengajaran dan pembelajaran.” (Huraian Sukatan Pelajaran BM, 2013, hlm. 8) Begitu juga halnya dengan Komponen Sastera dalam Bahasa Melayu (KOMSAS) sekolah menengah antara lain bertujuan untuk membolehkan pelajar memberikan pendapat dan hujah yang kritis dan analitis dalam pelbagai situasi serta dapat membuat tafsiran, penilaian dan rumusan yang wajar atas pelbagai bahan yang dibaca. Pemikiran kritis, analitis dan kreatif perlu ditanamkan dan disuburkan dalam kalangan pelajar secara sedar serta terancang oleh guru-guru Bahasa Melayu ketika mengajar KOMSAS. Melalui pengajaran KOMSAS kepada para pelajar, guru dapat melahirkan pelajar yang lebih berfikiran kreatif dan kritis kerana unsur yang terdapat dalam bahan sastera tersebut. Di samping itu, bahan pengajarannya akan dapat memotivasikan para pelajarnya untuk membaca bahan yang lebih baik. Bahan yang dibaca akan menyalurkan pemikiran positif, kreatif dan kritis dalam proses pendidikan seumur hidup. Keadaan ini akan memupuk perkembangan daya cipta atau imaginasi pelajar dalam proses pembelajaran secara berterusan. Apabila pelajar membaca novel, cerpen, drama dan prosa tradisional, mereka akan cuba untuk mencari mesej yang hendak disampaikan oleh penulis. Secara tidak langsung, pelajar dapat berfikir untuk mengenal pasti mesej tersebut. Berdasarkan Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu (2013), kemahiran berfikir diajarkan kepada pelajar melalui soalan dan penyoalan yang memerlukan pemikiran kritis dan kreatif dalam aktiviti mendengar, bertutur, membaca, dan menulis. Kemahiran berfikir sama ada dari segi mengkonsepsikan idea, menyelesaikan masalah, atau membuat keputusan adalah penting dalam kehidupan harian dan kerjaya pelajar pada masa depan. Sebagai contoh, pemahaman seseorang pelajar terhadap tema utama dalam novel DH Lawrence (katakan ‘Sons and Lovers’) sebagai rangka awal untuk memahami tema novel lain (misalnya Lady Chatterley’s Lover) bahawa pemahaman akhir pelajar mungkin atau mungkin tidak membantu memahami cerita sebenar (Paul & Elder, 2008). Perubahan kurikulum Bahasa Melayu adalah usaha wajar untuk memenuhi objektif dan falsafah pengajaran mata pelajaran ini. Perubahan tersebut telah melibatkan perubahan kandungan, pendekatan dan kaedah penyebarannya. Namun begitu, dalam kalangan guru Bahasa Melayu, perubahan ini ditanggapi sebagai perubahan kandungan sahaja, sedangkan aspek pendekatan dan kaedah penyebarannya kurang mendapat perhatian mereka. Berdasarkan pemerhatian dan laporan status Bahasa Melayu yang dikeluarkan oleh Jemaah Nazir Sekolah, Kementerian Pendidikan Malaysia (Rafiei, 1998), guru–guru Bahasa Melayu belum menerapkan unsur KBKK secara sedar dan terancang dalam proses pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu di bilik darjah. Dalam laporan tersebut dinyatakan bahawa bekas Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Tan Sri Wan Mohd. Zahid Mohd. Nordin pernah menganjurkan agar pengajaran guru memberi tumpuan yang lebih kepada perkembangan dan pertumbuhan minda supaya dapat melahirkan masyarakat yang bukan sahaja berilmu, tetapi juga mampu berfikir dan memberi sumbangan secara kreatif serta inovatif. Pandangan tersebut didorong oleh rasa tidak puas hati beliau atas fenomena yang berlaku dalam pelaksanaan proses pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah termasuk mata pelajaran Bahasa Melayu. Menurut beliau, pengajaran guru sekadar memindahkan maklumat daripada sumber pengajaran kepada pelajar, tanpa memberi tumpuan kepada kemahiran berfikir. Selain itu, para pelajar didapati lemah berfikir dalam pembelajaran KOMSAS atas faktor luaran dan dalaman menurut Anisah (2009). Dari aspek faktor dalaman, pelajar bersikap pasif dalam pengajaran dan pembelajaran sastera. Mereka tidak menunjukkan minat dalam mempelajari sastera dan tidak suka membaca karya sastera selain pengaruh rakan sebaya. ISSN: 2180-4842. Vol. 4, Bil. 2 (Nov. 2014): 10-24 13 Dari segi aspek luaran, Chew (2006) telah mengenal pasti beberapa masalah yang dihadapi oleh para guru, iaitu guru kekurangan pengetahuan dalam menyampaikan proses pengajaran dan pembelajaran ilmu sastera kerana bukan pengkhususan dalam bidang itu, justeru guru tidak mahir dengan istilah sastera sehingga mengganggu kelancaran pengajaran dan pembelajaran. Guru serba salah dan bercelaru dalam menyampaikan Komponen Kesusasteraan Melayu dalam mata pelajaran Bahasa Melayu dengan subjek Kesusasteraan Melayu (Elektif). Selain itu, media pengajaran buku teks sebagai bahan sumber utama dan buku-buku rujukan serta buku kerja dalam kajian berhubung penggunaan soalan berkaitan kosa kata didapati masih tertumpu pada aras rendah dan soalan pada aras tinggi tidak diberi perhatian (Anisah, 2009). Dengan menggunakan buku rujukan berkenaan, para pelajar tidak dapat mengembangkan KBKK mereka. Begitu juga pencapaian Programme for International Student Assessment (PISA) yang menilai tahap literasi dan kemahiran berfikir secara kritis di kalangan pelajar yang telah dijalankan pada tahun 2010 di seluruh dunia. Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013- 2025 (2013) melaporkan data pada 2010 bahawa prestasi Malaysia jauh ketinggalan di belakang negara-negara lain yang mempunyai tahap yang sama atau lebih rendah daripada peruntukan perbelanjaan pendidikan bagi setiap pelajar seperti Thailand, Chile, dan Armenia. Keadaan ini menunjukkan bahawa sistem pendidikan negara kita kurang memperuntukkan dana terhadap faktor-faktor yang memberi kesan yang tertinggi ke atas pencapaian pelajar, seperti latihan dan peningkatan kemahiran yang berterusan guru-guru. Permasalahannya ialah sistem persekolahan kurang memberi penekanan terhadap tugas memperkembang daya pemikiran pelajar. Tumpuan lebih kepada penyediaan maklumat dengan tujuan menyediakan pelajar menghadapi peperiksaan dan menghabiskan sukatan. Menurut Philips (1997), terdapat beberapa sebab kemahiran berfikir tidak ditekankan. Pertama, sesetengah guru hanya berpendapat bahawa pelajar terlebih dahulu menguasai semua fakta dan konsep sesuatu mata pelajaran sebelum pelajar boleh digalakkan berfikir. Kedua, penekanan peperiksaan yang mementingkan pengujian kebolehan pelajar mengingat kembali fakta. Ketiga, pandangan sesetengah guru bahawa pengajaran kemahiran berfikir akan mengambil masa yang banyak dan membebankan guru. Oleh yang demikian, memadai jika pengajaran pemikiran ditumpukan kepada pelajar pintar sahaja. Keempat dan yang paling jelas ialah pengakuan sesetengah guru bahawa mereka sendiri tidak tahu cara meningkatkan daya pemikiran pelajar. Pihak Jemaah Nazir Persekutuan (KPM/JNP, 1993) melaporkan bahawa pengajaran yang membosankan telah mengaburkan pencapaian objektif pembelajaran dan matlamat pendidikan. asrat untuk melahirkan pelajar yang kreatif tidak berjaya. Begitu juga dengan sikap segelintir pelajar yang hanya belajar untuk mendapatkan keputusan cemerlang (Chew Fong Peng, 2006). Keadaan ini menyebabkan pelajar gagal untuk berfikir dengan kritis dan kreatif. Permasalahan kini timbul kerana sistem persekolahan kurang memberi penekanan terhadap tugas memperkembang daya pemikiran pelajar. Penumpuan lebih kepada penyediaan maklumat dengan tujuan menyediakan pelajar menghadapi peperiksaan dan menghabiskan sukatan (Philips, 1997). Dalam proses pengajaran yang berpusatkan guru, pelajar menjadi pasif atau bersifat sehala. Situasi pengajaran yang kurang menarik menjadikan pelajar kurang berminat untuk belajar. Kegagalan penerapan KBKK ini akan menyebabkan pelajar menghadapi masalah apabila telah tamat pelajaran dan mencari kerjaya. Pelajar yang tidak dibekalkan dengan ilmu KBKK ini akan menyebabkan pelajar-pelajar sukar untuk mendapat pekerjaan (Poh Swee Hiang, 2001). Kajian luar negara menunjukkan latar belakang sosial pelajar mempengaruhi KBKK mereka, misalnya Dolores (2002) menggunakan teori kritikal kaum (CRT) dan teori kritikal Latina/Latin (LatCrit) untuk menunjukkan bagaimana epistemologi kritikal ras-gender mengiktiraf pelajar berwarna sebagai pemegang dan pencipta ilmu. Dengan berbuat demikian, beliau membincangkan bagaimana CRT dan LatCrit menyediakan perspektif yang sesuai untuk penyelidikan kualitatif dalam bidang pendidikan. Beliau kemudian membandingkan dan membezakan pengalaman pelajar Chicana/Chicano melalui Eurosentrik dan perspektif epistemologi kritikal ras-gender dan menunjukkan bahawa setiap perspektif memegang pandangan jauh ISSN: 2180-4842. Vol. 4, Bil. 2 (Nov. 2014): 10-24 14 berbeza daripada apa yang diambil kira sebagai pengetahuan, khususnya mengenai bahasa, budaya, dan komitmen kepada masyarakat. Melalui CRT dan kanta LatCrit, pelajar berwarna dilihat sebagai pemegang dan pencipta ilmu yang mempunyai potensi untuk mengubah sekolahsekolah di mana pengalaman semua individu diakui, diajar, dan dihargai. Justeru, kajian ini amat perlu dilakukan untuk melihat sejauh manakah keberkesanan KBKK dalam proses pengajaran dan pembelajaran KOMSAS bagi mata pelajaran Bahasa Melayu bagi peringkat menengah di sekitar Daerah Petaling. Selain itu, pengkaji juga ingin mengenal pasti adakah terdapat perbezaan antara latar belakang sosial pelajar dengan pelaksanaan KBKK di sekolah menengah. OBJEKTIF KAJIAN Objektif kajian ini adalah untuk: 1. Menilai pelaksanaan amalan KBKK dalam pengajaran KOMSAS di sekolah menengah. 2. Mengenal pasti keberkesanan KBKK dalam pengajaran KOMSAS di sekolah menengah. 3. Mengenal pasti masalah yang dihadapi oleh guru-guru dan pelajar-pelajar ketika melaksanakan KBKK dalam pengajaran dan pembelajaran KOMSAS di sekolah menengah. 4. Mengenal pasti adakah terdapat perbezaan yang signifikan antara latar belakang sosial dengan pelaksanaan KBKK di sekolah menengah. SOALAN KAJIAN Soalan kajian adalah seperti berikut: 1 Sejauh manakah pelaksanaan pengaplikasian KBKK dalam pengajaran dan pembelajaran KOMSAS di sekolah menengah? 2 Adakah pengajaran KBKK berkesan dalam pengajaran KOMSAS di sekolah menengah? 3 Apakah masalah yang dihadapi ketika pelaksanaan amalan KBKK dalam pengajaran dan pembelajaran KOMSAS di sekolah menengah? 4 Adakah terdapat perbezaan yang signifikan antara latar belakang sosial pelajar dengan pelaksanaan KBKK dalam KOMSAS di sekolah menengah? HIPOTESIS KAJIAN Hipotesis ini adalah untuk menjawab soalan kajian ke-4. Ho1:Tidak terdapat perbezaan yang signifikan antara pelaksanaan KBKK dalam pembelajaran KOMSAS mengikut jantina. Ho2:Tidak terdapat perbezaan yang signifikan antara pelaksanaan KBKK dalam pembelajaran KOMSAS mengikut aliran. Ho3:Tidak terdapat perbezaan yang signifikan antara pelaksanaan KBKK dalam pembelajaran KOMSAS mengikut minat pelajar akan KOMSAS. Ho4:Tidak terdapat perbezaan yang signifikan antara pelaksanaan KBKK dalam pembelajaran KOMSAS mengikut kaum. METODOLOGI Reka Bentuk Kajian Dalam kajian ini, pengkaji menggunakan kerangka teori yang dikemukakan oleh Pusat Perkembangan Kurikulum (2001). Pengkaji mendapati bahawa kerangka teori ini amat sesuai untuk digunakan di sekolah memandangkan kajian akan dijalankan di sekolah. Kerangka teori yang digunakan ini akan melihat sama ada pelaksanaan KBKK di sekolah berjaya atau tidak. Model kemahiran berfikir dapat dilihat dengan jelas dalam Rajah 1.

Comments

Popular Posts