Pada 16 Mac 2020 jam 10 malam waktu Malaysia, Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi ucapan secara langsung di televisyen dan secara rasmi mengisytiharkan perintah kawalan pergerakan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967.[7]

Maklumat Perintah Kawalan Pergerakan 18 Mac 2020 - 31 Ogos 2020 # Keterangan
1 Larangan menyeluruh pergerakan dan perhimpunan ramai di seluruh negara termasuk aktiviti keagamaan, sukan, sosial dan budaya. Untuk menguatkuasakan larangan ini, semua rumah ibadat dan premis perniagaan hendaklah ditutup kecuali pasaraya, pasar awam, kedai runcit dan kedai serbaneka yang menjual barangan keperluan harian. Khusus untuk umat Islam untuk penangguhan semua aktiviti keagamaan di masjid dan surau termasuk solat jumaat adalah selaras dengan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas yang telah bersidang pada 15 Mac 2020.[8]
2 Sekatan menyeluruh semua perjalanan rakyat Malaysia ke luar negara. Bagi yang baru pulang dari luar negara, mereka dikehendaki untuk menjalani pemeriksaan kesihatan dan melakukan kuarantin secara sukarela selama 14 hari.[8]
3 Sekatan kemasukan semua pelancong dan pelawat asing ke dalam negara.[8]
4 Penutupan semua taska, sekolah kerajaan dan swasta termasuk sekolah harian, sekolah berasrama penuh, sekolah antarabangsa, pusat tahfiz dan lain-lain institusi pendidikan rendah, menengah dan pra-universiti.[8]
5 Penutupan kesemua institusi pendidikan tinggi awam dan swasta (IPT) serta institut latihan kemahiran di seluruh negara.[8]
6 Penutupan semua premis kerajaan dan swasta kecuali yang terlibat dengan perkhidmatan penting kepada negara iaitu air, elektrik, tenaga, telekomunikasi, pos, pengangkutan, pengairan, minyak, gas, bahan api, pelincir, penyiaran, kewangan, perbankan, kesihatan, farmasi, bomba, penjara, pelabuhan, lapangan terbang, keselamatan, pertahanan, pembersihan, peruncitan dan bekalan makanan.[8]
Berkuat kuasa pada 18 Mac, Malaysia secara rasmi melaksanakan langkah kawalan pergerakan. Pada 25 Mac, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melalui siaran langsung kebangsaan mengumumkan bahawa perintah kawalan itu dilanjutkan sehingga 14 April.[9][10] Walau bagaimanapun, terdapat pertimbangan kawalan pergerakan lebih lanjut sehingga akhir April atau Mei kerana jumlah kes di Malaysia dijangka meningkat pada pertengahan April, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). [11][12] Pada 8 April, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah memberitahu kementerian kesihatan sedang mengadakan perbincangan dengan kabinet negara mengenai kemungkinan lanjutan PKP, dengan keputusan empoh PKP yang diumumkan tidak lewat daripada hari Jumaat.[13][14]
Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada mulanya memberi amaran bahawa sesiapa yang tidak mematuhi langkah kawalan boleh dikenakan pelbagai penalti di bawah Kanun Keseksaan.[15] Walau bagaimanapun, pada 18 Mac, jabatan Peguam Negara mengeluarkan gazet persekutuan khusus untuk perintah kawalan, menyatakan penalti sehingga RM1,000 dan/atau sehingga enam bulan penjara bagi sesiapa yang tidak mematuhi peraturan perintah itu.[16]
Semua perjalanan antara negeri, kecuali perjalanan ke Sarawak tertakluk kepada kebenaran bertulis daripada pihak polis yang dikehendaki dengan alasan yang sah dalam tempoh kawalan.[17] Kehadiran orang ramai di balai polis yang cuba mendapatkan permit hanya dalam tempoh beberapa jam sebelum kawalan perjalanan dikuatkuasakan juga berlaku. Bimbang bahawa penyakit itu akan tersebar, PDRM kemudian membatalkan polisi tersebut dalam tempoh beberapa jam sehingga notis selanjutnya.[18]
Semasa perintah itu, PDRM mengadakan sekatan jalanraya di seluruh negara,[19] untuk memastikan dan memberi amaran kepada rakyat Malaysia untuk tinggal di rumah dan mematuhi perintah itu.[20][21][22] Bermula dari 22 Mac, Angkatan Tentera Malaysia akan digerakkan untuk membantu pihak PDRM bagi memastikan keberkesanan perintah terebut.[23][24]
Pada 30 Mac, kerajaan pusat telah menetapkan bahawa semua perniagaan seperti pasar raya dan restoran, termasuk perkhidmatan penghantaran makanan hanya boleh dikendalikan dari pukul 8 pagi sehingga 8 malam bermula dari 1 April.[25] Bagaimanapun, kerajaan Sarawak menegaskan masa operasinya dari 7 pagi sehingga 7 malam, menyatakan bahawa siang di Sarawak lebih awal berbanding Malaysia Barat.[26] Langkah selanjutnya bermula 1 April; seseorang tidak boleh menemani orang lain semasa perjalanan kecuali dengan tujuan untuk perubatan, radius perjalanan 10 km untuk semua pelancong (termasuk untuk tujuan perubatan) dan melarang semua jenis perhimpunan kecuali untuk pengebumian, namun para hadirin mesti dalam jumlah minimum.[27] Sesiapa yang melakukan perjalanan dengan tujuan perubatan dikecualikan daripada peraturan perseorangan dan jarak perjalanan.[28]
Semua peringkat rantai bekalan berkaitan pertanian dan industri perikanan dibenarkan beroperasi sepanjang perintah.[29]
Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan
Bermula 27 Mac, beberapa kawasan tertentu di Malaysia tertakluk kepada perintah ketat yang dipanggil "Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD)" selama 14 hari jika kumpulan besar dikesan di dalam kawasan itu agar kerajaan dapat menjalankan ujian COVID-19 dengan teliti terhadap semua penduduk, dan untuk membendung penyebaran pandemik di luar kawasan tersebut. Pesanan termasuk: Perintah termasuk:[30]
semua penduduk dan pelawat di dalam kawasan dilarang keluar dari rumah mereka semasa perintah itu;
bukan penduduk dan pelawat dari luar kawasan tidak dibenarkan masuk ke kawasan yang tertakluk kepada perintah itu;
semua perniagaan ditutup;
bekalan makanan yang mencukupi akan diberikan oleh pihak berkuasa semasa 14 hari untuk semua penduduk;
pangkalan perubatan akan ditubuhkan di kawasan itu;
semua jalan ke kawasan itu disekat.
Pada 27 Mac, dua kawasan di Simpang Renggam, Johor tertakluk kepada perintah lebih ketat yang dipanggil "Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD)" sehingga 9 April kerana kawasan tersebut sahaja menyumbang kepada setinggi 61 kes. [30] Pada 30 Mac, perintah ini dilaksanakan untuk beberapa kampung di Kampung Sungai Lui, Daerah Hulu Langat, Selangor disebabkan oleh pengesanan kumpulan yang melibatkan madrasah dengan 71 kes positif.[31] Menara City One yang majoriti didiami olej pekerja asing di Jalan Munshi Abdullah, Kuala Lumpur tertakluk kepada perintah yang dilanjutkan pada 31 Mac lalu disebabkan oleh 17 kes yang melibatkan penduduk menara telah dikesan.[32] Perumahan flat Selangor Mansion dan Malayan Mansion, terletak di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur, tertakluk kepada PKPD pada 7 April, kerana 15 kes positif dikesan di dalam kedua-dua bangunan itu.[33]
Pada 6 April, Menteri Pertahanan Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata bahawa kerajaan sedang merancang untuk prosedur operasi piawaian yang baru mengenai PKPD dan kerajaan cuba tidak mengenakan jarak yang luas ke kawasan yang tertakluk kepada PKPD.[34] Beberapa negeri turut membatalkan Bazar Ramadan.

Comments

Popular Posts